KUALA LUMPUR: Pemenang Anugerah Perdana Menteri 'Best of the Best'
APICTA 2012, Azli Paat meninggal dunia akibat demam panas di rumahnya
di Bukit Segambut, di sini, malam ini.
Azli, seorang pakar dalam bidang teknologi maklumat (ICT) dan pengasas Ada Vista Sdn Bhd, berusia 46 tahun.
Anak kedua Allahyarham, Ahmad Naim, 23, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada kira-kira jam 7 malam.
Katanya bapanya mengalami demam panas sejak semalam dan hanya mendapatkan rawatan biasa di klinik berdekatan rumahnya.
Allahyarham meninggalkan balu serta 10 orang anak iaitu enam lelaki dan empat perempuan.
Ahmad Naim berkata jenazah akan dikebumikan di Batu Pahat, Johor, pagi esok.
Azli adalah pengasas DAPAT SMS dan mySMS 15888 yang mengubah cara
orang awam dan organisasi berkomunikasi di antara satu sama lain.
Beliau juga pencetus idea mewujudkan RakanCop di mana orang awam
kini dapat bekerjasama dengan pihak polis bagi mencegah jenayah sebelum
ia terjadi.
Beliau juga berkongsi maklumat mengenai teknologi maklumat di media termasuk menjadi panel penceramah Bernama Radio 24.
Penerbit Bernama Radio 24, Kok Jun Sern, 30, berkata Allahyarham
menjadi panel penceramah di stesen radio tersebut dalam satu program
berbentuk ceramah, seminar dan perkongsian maklumat serta tips terkini
mengenai teknologi maklumat bermula jam 7.30 pagi setiap hari.
Menurutnya, Azli menjadi panel dalam program berkenaan sejak 2007.
"Allahyarham seorang yang ceria, bijak dan merendah diri," katanya.
Pada majlis Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik
(APICTA) tahun lalu, allahyarham menerima anugerah tersebut daripada
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - BERNAMA
Nota kaki :-
dolu2 slalu mendengar celotehnya di radio KLFM... alfatihah untuk beliau dan takziah untuk ahli keluarganya..
2 comments:
al-fatihah, angah pun suka dengar slot dia kat radio
Akak memang peminat pakar ICT ni...Al fatihah untuk arwah...
Post a Comment