Friday, July 30, 2010

6 Sifat buruk isteri yang mesti dirawat

1. Wanita Ananah: banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.


2. Wanita Mananah: suka membangkit-bangkit terhadap suami. wanita ini sering menyatakan,”Aku membuat itu keranamu”.


3. Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.


4. Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.


5. Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.


6. Wanita Syadaqah: banyak cakap tidak menentu lagi bising.


Dicatat oleh Imam Al-Ghazali

nota kaki: moga2 dijauhkan sifat begitu. Nauzubillah

Thursday, July 29, 2010

~ Coretan hati ~




Dah lama tak benjenguk blog ni.. teramat sibuk dengan kerja di pejabat & di rumah. Pejam celik esok dah pun hari jumaat.. sekejap sahaja masa berlalu. Minggu ni ada pahit manisnya..



Anak kecilku si Aishah 'hilang'kejap. semuanya gara2 dia pergi melawat kawannya nun di jalan 2/2.. kami ni di 2/5.. masa tu suamiku pulang awal & melepaskan si Aishah bermain di depan rumah. Tanpa diduga beliau 'panjang akal'.. nun mengayuhkan basikalnya ke rumah sahabatnya di sana.. budak kecil ni memang berani.. risau suamiku bukan kepalang.. dicarinya satu taman.. & akhirnya bertemu dirumah temannya 'athirah'.. tengah dok makan cocorunch.. Hafiz pula telah mengunting rambut kawanya disekolah,. Habis bertompok-tompok kepala budak tu.. Suamiku betul2 tersentak apabila menerima berita tersebut. Semua berlaku semasa kita masih berada di pejabat. Patutlah angin semacam jer hubbyku bila mana kita call minta tolong belikan nasi goreng. Rupa-rupanya ada cerita disebalik itu..huhu..




27/7- adalah hari lahir suamiku.. Selamat Hari Lahir. Moga2 dimurahkan rezeki & dipanjangkan umurnya.. agar lebih berkat & bahagia. 28/7 pula utk adikku ~ Eny. Cepat2lah kahwin dek..berdua lebih baik.. hehe..






Begitulah resam hidup bila sudah berkeluarga. Hari-hari yang dilalui dipenuhi dengan pelbagai cerita ragam manusia.. suami & anak-anak adalah penawar hatiku.Sabar adalah kunci segala masalah.. sabar yea..

Wednesday, July 21, 2010

[Ulangkaji] Tips-tips Khusyuk Dalam Solat

سم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Khusyu‘ dalam sembahyang ialah menghadirkan hati kepada Allah di dalam sembahyang. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benar bagi suatu sembahyang. Hakikat zahirnya pula ialah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, ruku‘, sujud dan sebagainya. Kedua-duanya
mestilah dilaksanakan dengan sempurna. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

الصَّلاَةُ مَثْنَى مَثْنَى تَشَهَّدُ فِي آُلِّ رَآْعَتَيْنِ وَتَخَشَّعُ وَتَضَرَّعُ

وَتَمَسْكَنُ......
(رواه الترمذي)
Maksudnya: “Sembahyang itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyu‘an hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati……..”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Khusyu‘ dalam sembahyang itu merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Allah Ta‘ala menggelar mereka
sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya.”

(Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Melihat kepada kepentingan khusyu‘ dalam sembahyang itu maka diutarakan di sini sebahagian tip atau panduan yang boleh digunapakai untuk memandu diri kita ke arah perlaksanaan ibadat
sembahyang yang khusyu‘.

Untuk mendapatkan khusyu‘ dalam sembahyang hendaklah sentiasa membuat persediaan awal yang rapi dari aspek fizikal dan rohani. Persediaan tersebut sebenarnya bermula di luar
sembahyang, sebelum seorang itu mendirikan sembahyang.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dibuat untuk membantu menimbulkan khusyu‘ dalam sembahyang:

1. Sebelum mendirikan sembahyang pastikan perkara-perkara berikut:

i) Menjaga makanan dan minuman. Khusyu’ itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda- benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan dan minum hendaklah bersumber daripada yang halal.

Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

Maksudnya:
Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah ya dikatakan hati.

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ii) Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat. Sebab kesempurnaan sembahyang juga terletak kepada kesempurnaan wudhu’.

Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan sembahyang Subuh bersama Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam dalam sembahyang tersebut membaca surah ar-Ruum. Pada salah
satu ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu apabila selesai sembahyang Baginda bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang sembahyang bersama kami tidak menyempurnakan wudhu’ mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan sembahyang bersama kami, maka sempurnakanlah wudhu’nya.


(Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)

Di samping itu sebahagian kelebihan wudhu’ itu dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan. Saidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya:
“Sesungguhnya wudhu’ yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”


iii) Membersihkan diri, termasuk bersugi.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak sembahyang.

” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama menegaskan bahawa bersugi itu mempunyai tujuh puluh faedah. Antara faedah dan kelebihannya ialah:

Membersihkan dan mengharumkan bau mulut.
Memutihkan gigi.
Mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Membetulkan atau meluruskan tulang belakang.
Menolong menguatkan gusi.
Meningkatkan kecerdikan.
Menggandakan pahala amal ibadat.
Melancarkan kefasihan atau kepetahan pertuturan.
Menguatkan hafalan.
Mensucikan hati.
Menyukakan malaikat.


iv) Jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.

v) Jangan sembahyang dalam keadaan lapar.

Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan sembahyang.

Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

Maksudnya:
Jangan sembahyang ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.

(Hadis riwayat Muslim)

vi) Memakai pakaian yang bersih dan kemas. Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.

vii) Pilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya.

Termasuk langkah yang boleh dibuat, pastikan tidak terdapat telepon di dalam bilik tersebut. Atau jika membawa bersama telepon bimbit, pastikan ianya dimatikan (switch off) sebelum sembahyang.

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan sembahyang di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan sembahyang seseorang.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya:
“Bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menegah mendirikan sembahyang pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.”


(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

iix) Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.

Diriwayatkan daripada Saidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendirikan sembahyang di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda bersabda:

Maksudnya:
“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.”

(Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan mengenai riwayat di atas bahawa ianya memberi petunjuk akan galakan supaya menghindarkan atau menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyu‘ ketika mendirikan sembahyang.

Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat sembahyangnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.

2. Ketika hendak menunaikan sembahyang lakukan perkara-perkara berikut:

i) Usahakan sembahyang dilakukan secara berjemaah.

Mendirikannya dalam keadaan berjemaah adalah suatu tuntutan. Sembahyang berjemaah itu adalah di antaravsyi‘ar agama.

Selain pahala sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang sembahyang berjemaah itu memperolehi khusyu‘ ketika sembahyang dan terselamat daripada perkara yang boleh
melalaikannya.

ii) Menghadirkan hati.

Maksudnya ialah sebelum mendirikan sembahyang kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat sembahyang yang dikerjakan.

Tersebut dalam satu riwayat bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda kepada seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
“Aku lupa untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang). Maka sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu orang yang sembahyang.””


(Hadits riwayat Abu Daud)

Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu berkata:
“Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan sembahyang supaya dia masuk ke dalam sembahyang dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”


iii) Mengingatkan mati dan kemungkinan sembahyang itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.

Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham Radhiallahu ‘anhu bahawa ditanyakan kepadanya tentang sembahyangnya, beliau beliau menjawab:

Maksudnya:
“Apabila tiba waktu sembahyang aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan sembahyang. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan sembahyangku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka sembahyang ini adalah sembahyangku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada sembahyangku diterima atau tidak?”


iv) Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan. Umpamanya seperti berikut:

Surah an-Nas:

Tafsirnya:
“Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. ”


Ta‘awudz, seperti:

Tafsirnya:
“Wahai Tuhanku! Aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan, dan aku
berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”


Tahlil:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ

Ertinya:
“Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”


Zikir:

امنا با الله و برسوله


Maksudnya:
“Kami beriman dengan Allah dan rasul-rasulNya.”


Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa sembahyang. Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca. Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan sembahyang syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya….”

(Hadits riwayat Muslim)



3. Ketika menunaikan sembahyang pusatkan perkara-perkara berikut:

i) Meneliti bacaan-bacaan dalam sembahyang, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain dari ayat-ayat al-Qur’an iaitu tasbih dan takbir dan doa.Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam sembahyang. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.

ii) Merasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud. Tempoh masa rukuk dan sujud pula elok dipanjangkan.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud…..


(Hadis riwayat Muslim)

iii) Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang.

iv) Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia.

v) Segala perhatian dalam sembahyang itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali.

vi) Sembahyang dilakukan dalam keadaan thuma’ninah. Thuma’nînah dalam ruku‘, sujud dan lain-lain rukun fi‘li (perbuatan).

Thuma’ninah ertinya anggota seseorang itu tetap diam seketika ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang seperti ruku‘, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan
zikir: “ .” سبحان الله Maknanya, gerakan di dalam sembahyang itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, tidak dilakukan dengan bercepat-cepat tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.


Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda Baginda:

Maksudnya:
“Apabila kamu berdiri menunaikan sembahyang maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua sembahyang kamu.


(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

vii) Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta, sekalipun sembahyang di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang sembahyang itu dialihkan ke jari telunjuknya.

Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyu‘ dalam sembahyang seseorang itu, maka bolehlah dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.

Begitulah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan khusyu‘ di dalam sembahyang. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah orang masih tidak mampu memperolehi khusyu‘ di dalam sembahyangnya walaupun dengan mengamalkan bermacam-macam tip atau panduan.

Yang penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak memohon doa kepada Allah Ta‘ala

nota kaki: sumber dar tulisan mufti Brunei.

Tuesday, July 20, 2010

~Rumahtangga ~

Dalam melayari bahtera rumah tangga, sebagai manusia kita tak terlepas dari melakukan kesilapan. Mahligai yang dibina hasil dari kasih sayang semata-mata tidak cukup untuk meyakinkan bahtera yang dilayari tidak dilambung ombak. Ilmu yang ada pun tak cukup andai kata tiada persefahaman antara ahli keluarga.


Bercerita pasal rumahtangga, sebenarnya aku bahagia dengan keluargaku sekarang.. Alhamdulillah, cukup bahagia. Punya suami, anak2 & keluarga yang benar2 memahami. Jika orang luar berkata itu & ini & cuba bertanya itu & ini.. aku hanya tersenyum. Pernah juga terfikir akan akibat memceritakan keaiban keluargaku pada orang.. betapa ceteknya ilmu kekeluargaan pada diriku. Seharusnya hal rumahtangga tak boleh dibawa bincang dengan orang luar.. apalah cheyah ni kan.. aku la tu..



Hari ni dapat info dari seorang temanku akan kisah sahabat kami yang sedang berantakan dengan suaminya. Doaku moga2nya ia kembali tenang.. walaupun tak setenang air dikolam, namun hatimu tak lagi bergelora.. yes! Dari jauh, moga2 kisah itu tak berlarutan. Sudah menjadi resam suami isteri untuk saling melengkapi.. ku punya kurang ku punya kelebihan, begitu juga dgnnya. terima sedanya. Paling seronok, apabila dapat menunaikan ibadah solat bersama. Perkara begini yang sedang kami praktikkan dirumah.Harap2 berkekalan hendaknya.



Aku tahu apa yang aku lalui ini tak semua orang melaluinya. Apa yang telah terjadi, telah pun tertulis sejak azali lagi. Kata kawanku, "kita semua telahpun melalui satu kontrak hidup sewaktu azali lagi. Semuanya telah tertulis.'"




video


Wednesday, July 14, 2010

Teman Sejati- Brothers

video


Lagu yang saya letak ini adalah Teman Sejati nyanyian Kumpulan Brothers.. kira 14 thn yang lalu..Pada masa itu, Nasyid mula mendapat tempat dihati masyarakat kerana para penasyid membawa arus perubahan yang besar pada rentak Nasyid yang pelbagai & tdak lagi klasik..



Banyak juga kenangan lagu nasyid dengan diri saya ni.. tersenyum saya sorang2. Walaupun ianya dah lama berlaku.. cukup.. cukup.. arr
Biarkan kenagan itu berlalu begitu sahaja.. yang penting.. aku, dia mahupun kita semua senantiasa berada dalam limpahan kasih sayang dari Nya..

Monday, July 12, 2010

Sakit- Ujian dari Allah.

Sejak 2 menjak ni, ramai temanku yang jatuh sakit.. macam2 sakit. Aku bersimpati dgn mereka.. hanya mereka yg benar2 jatuh sakit merasa keperitannya.. bukan mudah utk bangun utk sihat kan.. terbaru, Pengurus Besar Bahagian Penyelidikan (Dr Abdul Fatah Awang Mat ) pun jatuh sakit. Pelbagai kaedah perubatan sedang mereka usahakan. Moga2 beliau kembali pulih.




Suatu ketika dahulu, aku pun pernah jatuh sakit.. 6 hari di tahan kat Hospital.. nyarislah masa tu, anak2 dijaga oleh bibik di rumah. Awal May lalu pun, jatuh sakit sewaktu bercuti menziarahi emak & ayah mertua di Terengganu.. rasanya sakit semacam sangat.. nak putus urat pinggang ni.. kepala plak pening, apalagi badan terasa tidak selesa.. segan plak dengan mak mertua.. selamba ajer muntah depan dia. Bukannya saja2 nak buat.. tapi keadaan badan yang tak sempurna sihatnya..Nyarislah mas sedaraku mempunyai kenalan di klinik kesihatan yang berhampiran. Aku dirawat di sana sebagai pesakit luar walhal hari Jumaat adalah hari rehat di sana. Pengalaman ini betul2 mengajarku agar lebih berwaspada memilih makanan apa lagi bekalan ubat WAJIB dibawa kemana-mana, memandangkan aku ni jenis mudah jatuh sakit.. terbaru sakit gigi.. terpaksa dicabut gerahamnya.. waduh..




Apapun ujian ini datang dari Allah. Kita perlu redha & berusaha untuk bangun.. bukan membiarkan diri seolah-olah esok tiada lagi..




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...